Monday, November 30, 2009

Program Hari Keluarga Sempena Hari Raya Aidil Adha 2009

Ahad - 29 November 2009
Hari ini ada lagi program berkumpul sambil makan-makan. Kali ini anjuran VMPGA, komuniti pascasiswazah seluruh Victoria (KgVicNorth, Bundoora, Clayton, Kg Dandy dan lain-lain) dengan kerjasama MSD Australia. Program ini dinamakan "Program Hari Keluarga Sempena Hari Raya Aidil Adha 2009".

Tujuan program ini adalah seperti di bawah yang dipetik dari emel Presiden VMPGA Sesi 2009/2010, PM Hidayah: "...Antara objektif majlis ini adalah untuk mempertemukan, memanjangkan silaturrahim di samping membina jaringan professional di antara seramai mungkin pelajar postgrad, pasangan dan keluarga di seluruh Victoria bersempena dengan meraikan Hari Raya Aidil Adha bersama-sama. Majlis ini mendapat sokongan penuh dari MSDA dan dijangka beberapa pegawai MSDA akan turut hadir memeriahkan majlis nanti di samping bertemu dengan kita semua. Program ini terbuka kepada semua postgrad, pasangan dan keluarga– muslim/nonmuslim, berkeluarga/belum, ahli VMPGA /belum menjadi ahli- yang belajar/menjalani latihan amali lepasan ijazah di seluruh Victoria.." (Hidayah, Nov 27, 2009 at 8:21 PM, "Pengumuman Final - Program Hari Keluarga Sempena Hari Raya Aidil Adha 29 Nov 09").
"... Walaupun cuaca agak sejuk kerana hujan dan mendung ditambah hujan sangat lebat petangnya, tapi ramai yang sudi hadir memeriahkannya. Dianggarkan lebih 300 orang yang hadir semalam. Ada yang datang dengan baju Melayu dengan sampin lengkap, ada berbaju kurung cantik, berbaju batik, ada yang berbaju sejuk namun semuanya berjaya menyatukan dan memanjangkan silaturrahim kita semua yang datang dari seluruh Victoria.." (Hidayah, Nov 30, 2009 at 3:52 PM, "Terima kasih Program Hari Raya Haji Anjuran Bersama VMPGA,KgVic,Desabundoora, DandyClayton dll")

Picnic Potluck Hari Raya Qurban desabundoora

Sabtu- 28 November 2009
Hari ini ada potluck picnic sempena Hari Raya Qurban di Norris Bank Reserve mulai jam 8pg - 12pm. Telah lama desabundoora tidak mengadakan picnic potluck seperti ini, rasanya kali terakhir pada bulan Mac lepas. Cuaca agak berangin tetapi tidak hujan syukur kepada Allah s.w.t. Ramai warga desabundoora yang hadir bersama-sama berkumpul dan makan-minum sambil berinteraksi berbincang pelbagai perkara. Anak-anak meriah memenuhi playgrounds berdekatan. Turut diadakan telematch ringkas untuk anak-anak.

Friday, November 27, 2009

Hari Raya Qurban @ Melbourne

Jumaat - 27 November 2009

Hari ini adalah sambutan Hari Raya Qurban di Melbourne. Sambutan buat kali ke-2 kami sekeluarga di Melbourne ini disambut dengan agak berlainan kerana hari raya jatuhnya pada hari bekerja dan persekolahan.
Disebabkan program sambutan hari raya qurban hanya dibuat pada sebelah petang dan juga hujung minggu, maka Along. Angah & Uda akan ke sekolah dan aku meneruskan urusan seperti hari-hari biasa, cuma bernasib baik kerana tiada temujanji dengan supervisor pada hari ini.
Jam 8.15am, aku perlu membawa Uda berjumpa dentist untuk temujanji pemeriksaan gigi yang telah dibuat 2 bulan lepas. Selepas selesai urusan, Uda akan ke sekolah seperti biasa. Along dan Angah pula akan ke sekolah seperti hari-hari persekolahan biasa.
Di sebelah beberapa rakan desa menjemput kami sekeluarga untuk sambutan hari raya di rumah mereka.
Sesungguhnya hari raya ini mengingatkan aku kembali sambutan hari raya semasa aku belajar di Denver, USA 17 tahun yang lepas kerana disambut pada hari bekerja dan juga semester pengajian sedang berjalan.
Selamat Hari Raya.

Thursday, November 26, 2009

Pengumuman Aidiladha @ Melbourne

Berikut adalah pengumuman tarikh Hari Raya Aidiladha 2009 oleh Islamic Council of Victoria (ICV) yang diterima melalui emel pada Jumaat 20 November 2009.

Announcement from Board of Imams in relation to Eid-ul-Adha 1430/2009
In the name of Allah SWT, the most Gracious and the most Merciful.
The Astronomical New Moon is on November 16, 2009 (Monday) at 19:14 UT. This moon cannot be seen anywhere in the world. Hence according to astronomical calculations, the month of Zul Hijja 1430 will begin on Wednesday 18th
November 2009.
Thus the Board of Imams Victoria is pleased to announce that Eid ul Adha 1430 will be on Friday 27th November 2009 Insha Allah.
It is confirmed by Authorities in Kingdom of Saudi Arabia that ‘Arafah date for Hajj is on Thursday, 26th November ,and Eid ul Adha is on Friday 27th
November 2009.
The member Imams of the Board of Imams Victoria (BOIV) send their warmest Eidul Adha greetings to all Victorian Muslims and the entire Muslim community all over Australia.
We wish a happy and virtuous Eidul Adha for all.
Wassalam.

Bazaar Bersama @ Fawkner

Sabtu - 21 November 2009
Satu program jualan makanan yang kami namakan "Bazaar Bersama" diadakan hari ini di backyard salah seorang rakan kami di Fawkner. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memberi peluang rakan-rakan Malaysia, Singapura dan Indonesia yang bermastautin di Melbourne ini untuk membeli pelbagai jenis makanan masakan Melayu. Program dijalankan di backyard rumah kerana di Melbourne ini tidak seperti di Malaysia boleh buka gerai dan jual makan di tepi-tepi jalan, di sini pelbagai yang perlu dilakukan jika hendak menjual makanan seperti makanan perlu dalam pek/bungkusan yang lengkap dengan tarikh lupus, senarai bahan, dll.
Sebanyak 6 gerai dibuka dalam program ini termasuklah gerai kami. Pelbagai masakan Melayu dan barangan produk Malaysia dijual. Seperti biasa, gerai kami menjual makanan yang dimasak oleh Gee seperti Kerepek Santan Berlada, Kuih Tiram/Layang2, Kuih Ros, Homemade Mee Goreng, Lepat Pisang, Kuih Lapis, Kuih Seri Muka, Kuih Koci (pulut hitam), Aiskerim Malaysia dan Kicap Cap Kipas Udang.

Program bermula pada jam 11pagi dan tamat jam 4ptg.

Tuesday, November 17, 2009

Happy Birthday Along

Selasa - 17 November 2009

Hari ni birthday Along yang ke-13 tahun. Tahun kedua menyambut hari lahir di Australia. Seperti biasanya, Gee membuat kek untuk sambutan kecil-kecilan pada sebelah petangnya. Beberapa rakan Along dan juga warga desa datang ke rumah untuk sambutan tersebut sambil minum petang. Happy Birthday Along

Monday, November 16, 2009

Hari Ahad Yang Sibuk

Ahad - 15 November 2009
Seperti biasa hari Ahad Along, Angah dan Uda akan ke Sunday School iaitu kelas agama anjuran Madrasah Al-Mujahirin (usahasama rakan-rakan dari Malaysia, Singapura & Indonesia). Kelas berjalan dari jam 10pg - 2ptg. Selalunya, Along akan bawa bersama kuih-muih yang disediakan (cekodok pisang, kuih lapis, seri muka) oleh Gee untuk dihantar kepada rakan dari Singapura yang mengendalikan kaunter jualan makanan di Sunday School ini tetapi mulai hari ini (15 Nov 2009), pihak penganjur kelas agama tidak lagi membuka kaunter jualan makanan. Alasannya tidak mahu dipersalahkan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini terutama yang berkaitan dengan makanan. Maka ramai lah anak-anak yang tidak membawa bekal makanan kerana tiada pengumuman pennutupan kaunter makanan dibuat sebelum ini.
Selepas menghantar Along, Angah dan Uda ke Sunday School, aku bersama-sama Gee dan Milah ke Coburg/Reservoir Trash & Treasure Market sebab nak pulangkan semula mesin jahit yang dibeli 2 minggu lepas - barang-barang yng dijual di market ini ada yang baru dan ada yang terpakai tetapi harganya agak murah termasuklah mesin jahit yang dibeli dgn harga A$20, malangnya mesin tersebut tidak berfungsi dengan baik. Ramai juga jumpa rakan-rakan dari Malaysia, Singapura dan Indonesia di situ. Kami jalan-jalan di market sementara menunggu masa Along, Angah dan Uda balik.
Selepas ambil Along, Angah dan Uda dari Sunday School, kami singgah makan tengahari di KFC Fawkner sebelum ke rumah Sel dan Sulaiman untuk melawat bayi baru mereka. Lama juga tak makan KFC, seronok lah anak-anak dapat makan KFC tetapi rasanya sememangnya tak boleh nak lawan lah KFC di Malaysia. Disebabkan memang tak ada rancangan awal untuk makan tengahari di KFC, maka kami tak bawalah bersama sos cili dan tomato. KFC di sini tidak menyediakan sos cili atau tomato seperti di Malaysia. Kalau nak sos kena beli dengan harga A$0.50 /pek.

Selepas habis makan tengahari, kami ke rumah Sel dan Sulaiman. Bayi mereka lahir pada jam 6.45ptg hari Jumaat (13 Nov 2009) seberat 3.43kg di Mercy Hospital.
Sebelah petang pula aku bersama-sama Along, Angah dan Uda ke VideoEzy untuk memulangkan semula video yang dipinjam sambil berjogging dan ke taman permainan yang berdekatan rumah.
Penat sungguh hari Ahad ini.

Sarapan Pagi @ Edwardes Lake Park

Sabtu - 14 November 2009
Tidak seperti hari-hari Sabtu yang lain, hari ini kami sekeluarga bangun dan bersiap awal kerana ada majlis kesyukuran dan birthday rakan di desabundoora. Yang menariknya, majlis kali ini bukan diadakan di rumah tetapi di sebuah taman, Edwardes Lake Park namanya, yang lebih kurang 7km dari rumah kami.
Majlis dijadualkan bermula pada jam 8.30pg, tetapi disebabkan ada tugasan untuk membantu dalam persiapan majlis (mem-BBQ kambing dan ayam), kami keluar awal sikit iaitu jam 8pg. Semasa kami sampai lebih kurang jam 8.10pg, telah ada rakan-rakan yang ditugaskan untuk membantu majlis. Kawasan persekitaran taman ini nampak menarik dengan kemudahan yang disediakan seperti tempat berBBQ, tandas, playground, wakaf berbumbung, dll.

Banyak juadah yang disediakan - nasi lemak, mee goreng, kambing dan ayam BBQ, kek, aiskrim, kuih-muih, buah-buahan, air panas dan sejuk, dan pelbagai lagi. Majlis berjalan dengan lancar dengan para jemputan makan, minum dan beramah-mesra bersama rakan-rakan walaupun cuaca agak panas dengan suhu mencecah 34 darjah celcius. Majlis bertambah meriah dengan acara sukaneka untuk anak-anak, gembira nampaknya anak-anak bermain dan mendapat hadiah.
Kami pulang setelah majlis tamat lebih kurang pada jam 12.30pm.
Terima kasih atas jemputan ...
Happy Birthday ke-8 thn Aisyah ...
Tahniah PM Hidayah dan Pn Nazura

Saturday, November 14, 2009

Blog ku ini bermula

Sabtu - 14 November 2009
Blog ku ini bermula pada hari ini. Mulai hari ini blog ini akan digunakan untuk catatan peristiwa-peristiwa perjalanan hidupku dan blog sebelumnya di http://dindenver.wordpress.com/ masih dikekalkan tetapi tidak akan dikemaskini.